Meningkat umur sikit, ada satu fasa dimana filem hindustan mula digilai. Mula-mula aku bingung. Kenapa setiap kali pukul 2 petang hari sabtu ramai manusia berkerumun di peti televisyen? Mereka ini tak berganjak, khusyu', menonton cerita yang penuh dengan tari-tarian. Rasa ingin tahu itu akhirnya bertukar menjadi kegilaaan yang aku yakin ramai manusia mengalami perkara yang sama. Inilah fasa dimana aku mengenal cinta. Ya, cinta.
Dewasa ini, aku singgah kembali memori lalu dan menyelami kegilaan ini kembali. Filem-filem hindustan yang kita sedia maklum memang bertongkatkan satu tongkat yang tampak biasa namun magisnya mampu memukau penonton, CINTA.
Kalau disoroti satu persatu filem hindustan tiada beza tema dan jalan penceritaan. Dua manusia bertemu, jatuh cinta, tribulasi dan pengakhiran. Tribulasi ini pelbagai, baik dari keluarga, kasta masyarakat dan lain-lain yang mampu menguji cinta dua insan ini. Disaat tribulasi inilah emosi penonton dimainkan dengan sehabis baik. Emosi geram dan menyampah dipukul dan diapi-apikan ke tahap yang tertinggi sehinggakan pernah mahu sahaja di baling peti televisyen yang tiada langsung bersalah.
Pengakhirannya hanya dua. Ya, dua. Sama ada pesangan kekasih hidup aman bahagia, happily ever after gitu ataupun keduanya mati di dalam cinta . Disini emosi sedih gembira dimainkan dengan hebat oleh penulis-penulis skrip ini. Ayat-ayat power yang diucapkan memang hebat walau kerap meleret (fokus boleh lari, beb). Masakan tidak, lelaki yang berhati sekeras titanium pun sebak menitiskan air mata jantan, hiba, menonton kesudahan ini.
Logik tolak tepi! Bilamana pasangan ini bercinta jarak antara Switzeland dan India bagai jarak antarak RMIT dengan Melbourne central. Tak jadi masalah. Sedar sedar sudah bersweater(tapi yang pelik si wanita tak rasa sejuk langsung) sambil diiringi oleh segerombolan penari-penari yang entah dari mana muncul. Aksi berkejaran-kejaran sambil bernyanyi menguntumkan senyuman kecil di bibir penonton yang ternyata sudah terperangkap angkara bait bait syair hindi. Dari situ, mereka ini sudah dapat dikuasai dan bakal dimainkan emosi. Mereka ini berada dalam genggaman sudah, itulah kuasa cinta!
Masuk bab lagu. Setiap bait-bait yang dinyanyikan oleh Lata Mangeshkar, Udit Narayan dan lain-lain fuh memukau. Memang cinta gila-gila punya lah.Kalau korang punya ayat cinta dah habis power maknanya korang tak tengok dan hayati lagu hindi lagi. Ini contoh maksud salah satu lagu hindi. Power weh:
Tuhan, mataku hujankan tangisan, terangkanlah dunia ku
Doaku Tuhan penuhi ribaku dengan kegembiraan, ku tergilakan mu
Ya Tuhan gilanya aku! Ku menjadi penyendiri gila
Tuhan biarlah ku dapat Raanjha(kekasih)ku, jangan pulang ku bertangan kosong
Oh kaulah kegilaanku, kaulah kesesatanku,
Ya Tuhan! Kaulah hidupku
Tuhan bantulah, aku telah jatuh cinta
Majnun tak majnunnya. Sebab? Cinta
Ini kisah cinta idealistik. Kasta bukan penghalang, bom dan peluru bukan penghalang apatah lagi keluarga. Yang menang hanya satu, Cinta.
Kenapa kisah cinta hindi tak boleh dipraktikkan dalam kehidupan realiti?
- Kebanyakan cinta adalah cinta pandang pertama, kalau dalam realiti anda akan jatuh cinta berjuta kali sebab acap kali cinta pandang pertama.
- Anda memerlukan beribu ringgit untuk ke Switzeland atau negara yang beraltitude tinggi untuk memastikan cinta anda mekar.
- Progres cinta anda tidak bergerak kerana banyak masa digunakan untuk melatih penari-penari supaya seragam mengikut rentak lagu yang bakal dimainkan di Switzeland.
- Tengok, sebelum kahwin je dah berbelanja beribu-ribu ringgit, itu belum ber'rak-rak' persalinan baju. Sanggup?
- Selalu pasangan memang ideal. Cantik dengan kacak. Kalau anda hodoh lupakan sahaja untuk bercinta.
- Dan ingat pengakhiran ada dua. Anda sanggup mati bersama kekasih anda? dan menamatkan usia muda anda begitu sahaja? Fikir-fikirkan
[Nota penyunting: Rencana ini dikarang Majnun, bukan Ddreamer. Ulang, Majnun, bukan Ddreamer.]
No comments:
Post a Comment