Lambakan filem-filem yang menjadikan cinta sebagai tema utama dalam penceritaan mungkin kadang merimaskan namun harus kita sedar bahawa ini adalah satu tema yang universal dan utuh untuk dipersembahkan sejak mula manusia bekarya.
CINtA adalah satu filem pendek arahan Steven Facius yang baru sahaja tamat pengajian di Jakarta institute of Art dan karyanya ini adalah projek akhir tahun graduasi. Cinematografi filem ini memang baik disamping warna gambar yang merefleksikan elemen ikhlas dalam menyampaikan karya. Mungkin pembaca terpinga dan rasa seakan pernah menonton filem ini dek kerana terdapat beberapa filem keluaran Malaysia dan Indonesia yang menggunakan tajuk yang sama. Namun karya Steven Facius ini bukan seperti kisah cinta yang lain yang sarat memainkan emosi penonton yang fokus semata-mata pada hubungan antara sang teruna dan dara (Yang berakhir dengan pasangan berjaya melalui lautan duka lara dengan cinta mereka)
Menggunakan pendekatan naratif yang saya fikir amat menarik sekali, penonton diperkenalkan pada situasi dua watak utama tanpa perlu melalui proses introduksi (musika, sentimental) yang panjang. Ia berkisar antara hubungan antara dua insan agama berbeza. Pada mulanya saya skeptikal kerana sudah kerap disajikan hubungan sebegini yang berakhir dengan sama ada tindakan ekstrim pasangan kekasih ataupun yang seorangnya menganut agama pasangannya.
Ianya bermula hanya dengan permintaaan A Su seorang lelaki cina Buddha yang mahu memperisterikan Siti seorang perempuan muslim. Kedua pasangan ini pada kiraan saya sudah pun nekad untuk hidup bersama disamping kesungguhan A Su cuba untuk mendalami agama Islam (dapat dilihat pada babak-babak awal) agar nanti pernikahan mereka boleh dilalui melalui proses yang sah.
Namun kedua keluarga mereka menjadi penghalang. Di pihak Siti, kedua ibu bapanya sudah punya calon untuk dia, manakala bapa A Su menentang keras kerana peristiwa silam yang berlaku pada ibu A Su yang sudah pun meninggal dunia.
Jalannya ceritanya seakan menuju ke pengakhiran kebiasaan. Dimana A Su melaungkan syahadah (salah satu keperluan dalam memeluk agama Islam) di hadapan rumah Siti. Namun bapa Siti keluar dan bertempik bahawa A Su memeluk Islam tidak ikhlas dan hanya menurut nafsu. Kata-kata Ah Su sebagai jawapan kepada bapa Siti sangat menyentuh,
"habis siapa saya?"
kerana pada sebelah keluarganya bapanya sudah tidak mengakuinya anak, dan menurut bapa Siti dia bukan Islam dek kerana telaah bapa Siti, A Su tidak ikhlas. Yang sekaligus melontarkan persoalaan kepada penonton apakah soal ikhlas mahupun tidak, adakah ianya hak insan untuk menilai?
A Su pulang kembali ke bapanya, dan disitu Siti lari ke rumah A Su dan ternampak akan pertengkaran A Su dan bapanya yang kemudian sekaligus membawa cerita ini ke daerah yang lain. Siti menulis surat kepada A Su yang dia akan menikah dengan pilihan keluarga. Babak perbualan Siti dengan ibunya saya kira bagus kerana lain dari cerita konvensional dimana si anak memang sudah tak hirau akan nasihat ibu bapa. Di sini ibu Siti melontarkan persoalan rasional yang membuatkan Siti berfikir dari menurut emosi secara membuta.
Akhirnya A Su dan Siti bertemu buat kali terakhir dan Siti memberikan penjelasan akan kenapa cinta ini tidak boleh lanjut. Dan cerita di akhiri dengan naratif daripada Siti. Kedua manusia ini membawa haluan sendiri dan tidak bersama di akhir cerita.
Saat Siti melihat pertengkaran A Su dan ayahnya adalah saat dimana saya rasa Siti kembali menguasai dirinya dari emosi dan berfikir secara rasional yang cinta antara dia dan A Su sahaja tidak cukup untuk menjamin kebahagian. Di sini Siti seakan mampu menerjah ke masa hadapan akan keperitan yang bakal dilalui oleh mereka jika bersama, resepsi masyarakat, disamping terpaksa melukakan orang tua mereka yang bagi saya adalah satu tindakan yang amat bijak.
Ya, mungkin anda boleh memperdebatkan cinta mampu mengatasi semuanya namun dalam kehidupan realiti ianya tak semudah seperti dalam cerita filem 'happy-ending-love-will-triump-all" yang lambakan berada di pasaran paparan cerita cinta yang mudah sahaja menggadaikan prinsip-prinsip atau keutamaan lebih besar seperti soal keyakinan, hubungan kekeluargaan, masyarakat dan perjalanan hidup di masa yang mendatang.
Pokoknya harus tahu meletakkan aras cinta insani kerana hakikatnya, bukan cinta insani asbab tunggal kita untuk hidup bahagia di dunia ini.
Tayangan filem CINtA ini adalah sempena Festival Filem Indonesia yang ke-5 di Australia yang berlangsung pada 20 hingga 29 Ogos 2010.
No comments:
Post a Comment