9.1.10

LINDT CHOCOLAT CAFE

 (Artikel ini diulangcetak ehsan Kelab Makan Melbourne. Kunjungi blog KEMAM untuk maklumat aktiviti terkini mereka)



Jika pada entri yang lepas krew KEMAM mencadangkan sebuah restoran, kali ini kami mencadangkan sebuah tempat untuk bersantai dan menenangkan fikiran. “Kedai kopi” pilihan kami kali ini ialah Lindt Chocolat Cafe (memang ejaannya macam ni).


Bagi penggemar coklat, nama Lindt sudah pasti tidak asing lagi di benak fikiran dan acap kali bermain di bibir masing-masing. Namun kepada yang tidak mengenali Lindt, Lindt adalah satu jenama coklat yang telah wujud sejak tahun 1845 lagi dan produknya terdapat di lebih dari 100 negara di dalam dunia ini.

Masuk sahaja ke kafe Lindt ini, anda dapat melihat keeksklusifannya. Rak hiasan coklat, coklat dan aiskrim untuk dijual, boleh membuatkan anda takut untuk masuk ke kafe ini kerana pasti sudah terbayang dalam benak fikiran akan betapa mahalnya harga-harga minuman dan makanan di sini. Itulah perasaan yang dialami krew KEMAM, namun demi pengunjung blog KEMAM, kami melangkah jugalah ke kafe ini.

Ketibaan kami disambut oleh seorang pelayan yang peramah dan kami dipimpin ke meja. Setelah diberi menu, ternyata sangkaan krew KEMAM benar. Harganya memanglah mahal. Namun apakan daya, dah masuk. Minum sajalah.

Kami memesan “Chocolat Milkshake”, “Iced Mocca” dan “Hot Chocolat Lava Cake”. Setelah hidangan sampai, kami minum dan makan namun ternyata minuman itu cukup sukar untuk dihabiskan. “Chocolat Milkshake” terutamanya. Kepekatan rasa coklat itu cukup sukar sekali untuk digambarkan. Terlalu jauh bezanya rasa “Chocolat Milkshake” ini dengan yang terdapat di kafe-kafe yang lain. Ternyata coklat yang digunakan adalah sangat berkualiti.



Bagi penggemar “Hot Chocolat Lava Cake” pula, pengalaman menikmati kek ini pasti berbeza dengan mana-mana kek yang dinikmati sebelum ini. Kek ini disirami dengan coklat panas cair yang rasanya cukup sukar sekali untuk digambarkan. Ditambah dengan aiskrim istimewa Lindt yang rasanya cukup unik. Sangat lembut dan sedap. Jika anda sebelum ini merasakan aiskrim Bulla adalah yang terbaik, ketahuilah aiskrim Connaisseur (betul ke ejaannya ni?) lebih baik. Namun jika anda katakan aiskrim Connaisseur itu adalah yang terbaik, ketahuilah bahawa aiskrim Lindt ini jauh lebih sedap.

Setelah memikirkan kembali, ternyata kafe Lindt ini tidaklah mahal sangat. Jika dikira kembali, harga segelas “Chocolat Milkshake” ialah 7 dollar. Harga-harga di kafe lain sekitar 5 ke 6 dolar. Namun perlu diingat, “Chocolat Milkshake” ini sangatlah pekat dan sebenarnya sesuai untuk diminum oleh dua orang. Menjadikan harganya lebih murah dari kafe-kafe yang lain. Harga bagi “Hot Chocolat Lava Cake” pula ialah 15 dolar. Wartawan KEMAM di Malaysia melaporkan kek ini dijual pada harga RM20++ di Malaysia. Maka, harga 15 dolar itu dilihat munasabah dengan rasa, keenakan dan kualitinya.

Atas skala 1 hingga 5, krew KEMAM meletakkan kafe Lindt pada skala 3.5. Dari segala sudut yang lain, kafe ini memang sempurna cuma mungkin faktor harganya sahaja yang menjadi masalah. Namun bagi penggemar coklat sejati, harga ini sebenarnya sangat berbaloi dan berpatutan. Oh sebelum terlupa. Selain menjual makanan dan minuman, kafe ini juga turut menjual produk-produk coklat Lindt dan juga aiskrimnya. Harga bagi coklat Lindt ini agak murah berbanding kedai-kedai di luar namun harga aiskrimnya sangatlah mahal. Tapi sekali lagi diingatkan, tak salah untuk mencuba!

Lindt Chocolat Cafe terletak di 271 Collins St dan terdapat juga di Chadstone Shopping Centre. Kepada yang ingin mengunjungi kafe ini di Collins St menaiki tram, anda bolehlah turun di persimpangan Collins St dan Elizabeth St.

No comments:

Post a Comment