Suasana semasa, prejudis lapuk, dan cercaan media semuanya berpadu untuk menjadikan rakyat negeri Kelantan bagaikan si dogol - village idiot, bak kata orang. Segala nama dan adjektif yang negatif bagai automatik dikaitkan dengan negeri Che' Siti Wan Kembang ini. Tak macam orang Terengganu. Orang Terengganu semua baik.
Mungkin disebabkan latar pemikiran begini, saya menonton filem 'Budak Kelantan', mengharapkan suatu usaha menebus maruah dan nama baik oghe Kelate. Al-maklum, hampir kesuluruhan pelakon dan penggerak utama filem ini berasal dari Kelantan. Mungkinkah 'Budak Kelantan' merupakan titik perubahan di dalam sejarah filem Malaysia yang akan mengubah persepsi terhadap masyarakat selatan Sungai Golok, seperti yang dilakukan filem 'Guess Who's Coming to Dinner' untuk kaum African-American di Amerika Syarikat, dan 'Alfie' untuk golongan working class di London?
Realitinya jauh panggang dari api.
'Budak Kelantan' tidak menolak stereotaip sedia ada, oh tidak! Sebaliknya ia meraikan imej gedebe dan bedo'oh (segelintir) anak Kelantan di perantauan dengan sepenuh hati. Apa yang tidak mereka lakukan? Ubat batuk, pil kuda, judi, gusti, rogol, human trafficking, semua dilakukan tanpa rasa segan diiringi dendangan dikir Halim Yazid.
Budak Kelantan di KL, menurut filem ini, ada dua golongan. Yang pertama adalah manusia-manusia tanpa kompas moral, gila seks, dengan hati sehitam dakwat. Manakala yang kedua terdiri dari 'set-set' surau yang nampaknya tidak terhenti-henti menunaikan solat. Sedikit sebanyak filem ini menggambarkan pertembungan di antara dua dunia ini, dan cuba memberi wajah insaniah kepada golongan yang biasa mengepau kita di antara lorong-lorong kotaraya.
Sayangnya, 'Budak Kelantan' tidak mempunyai unsur penceritaan yang kuat, dan apa yang tinggal setelah menonton filem ini hanyalah babak-babak kontroversi dan tak senonoh, serta kesedaran bahawa loghat kelantan sengoti, hanya boleh difahami dengan bantuan sarikata (yang disertakan di dalam DVD original).
Tidak bermaksud, ia tidak enak ditonton. Dengan rupanya yang kasar dan gelap, 'Budak Kelantan' berniat memberi cerminan realiti di Kuala Lumpur, jauh berbeza dari filem-filem eskapisme berlatarkan Bukit Antarabangsa yang biasa disajikan. Cuma kalau tidak mahu terlampau kecewa, jangan nantikan aksi hebat ala Hollywood!
*komen dari klip youtube filem ini.
No comments:
Post a Comment